Mimpi.... Dreams.... Yume....

Something to remember....


Bayangkan bagaimana apabila harta pusaka tidak dirancang? Perihal harta pusaka tidak dirancang memang dialami oleh sesiapa dan rata-rata didapati rakyat Malaysia tidak merancang harta pusaka.
Kesedaran merancang harta pusaka di kalangan kita kurang apalagi bagi membuat wasiat. Malah kebanyakan si pemilik harta semasa hidupnya tidak pernah menyatakan apa-apa pun secara lisan, walau sepatah dua kata, bagaimana harta mereka sebaik-baiknya dibahagikan kepada waris-waris. Waris-waris terkapai-kapai di kamar perbicaraan. Mereka menjadi buntu dan adakalanya mereka menyerahkan kepada penolong pengarah pembahagian pusaka bagi membuat keputusan.
Perkara ini tidak perlu berlaku kerana pembahagian harta itu demi kebaikan para waris dan tidak ada orang lain yang perlu menentukannya bagi mereka. Perancangan harta pusaka bukan sahaja terletak di bahu pemilik harta semata-mata malah ia menjadi tanggungjawab dan kewajipan waris-waris. Apabila pemilik harta tidak membuat wasiat ataupun meninggalkan sebarang amanat, pihak waris sendiri perlu memikir dan merancang pembahagian harta pusaka.
Tanpa perancangan, cenderung memberi beberapa implikasi yang kurang baik. Pihak yang lebih memahami prosedur pentadbiran pejabat dan undang-undang cuba mengeksploitasi keadaan. Contohnya si abang sulung menyatakan beliau, oleh kerana anak lelaki yang sulung beliau berhak ke atas semua harta pusaka si mati dan beliau jugalah yang berhak menentukan pembahagian kepada waris-waris yang lain.
Ada waris yang mengatakan bapa mereka sebelum meninggal dunia berpesan kepadanya secara lisan berkenaan bagaimana harta pusaka perlu dibahagikan. Oleh kerana hal ini tidak didengar oleh waris lain, mereka menyanggah sama sekali. Ini semua membibitkan krisis keluarga dan persengketaan sesama mereka.
Kadang-kadang bagi mengelakkan pergaduhan waris-waris cenderung terus membuat keputusan dalam masa yang singkat di kamar perbicaraan dengan suatu keputusan pembahagian yang tidak munasabah dan tidak ekonomik. Misalnya tanah yang seluas satu ekar dibahagikan kepada semua waris seramai sepuluh orang.
Sementara itu, kekeliruan juga timbul apabila mana si pemilik harta tidak pernah (semasa hidupnya) memberitahu waris-waris berkenaan adanya harta yang dijual tanpa pindah milik sempurna (hanya melalui surat perjanjian). Apabila si pembeli muncul membuat tuntutan, waris-waris cuba menafikannya. Keadaan ini menimbulkan perbalahan antara waris-waris dan pembeli.
Akibat tiada perancangan, waris-waris sukar membuat keputusan, wujud prasangka dan persengketaan dan ia melambatkan proses pembahagian. Kesannya kes ditangguhkan sehingga beberapa lama. Kes semakin kronik apabila mana waris-waris yang patut menerima meninggal dunia dan menyebabkan kematian yang berlapis. 'Harta tidak boleh alih' tidak dapat diurus niaga dan dimajukan, sementara wang simpanan di bank-bank dibekukan dan beberapa lama ia cenderung dipulangkan ke Tabung Wang Tidak Dituntut.
Secara umum, pengabaian perancangan harta pusaka mengakibatkan kelengahan dalam tuntutan. Kelengahan dalam tuntutan, merencatkan pembangunan insan, sosial dan ekonomi negara.
Terbaru! Orang Melayu dinasihat sedia wasiat
Masyarakat di negara ini, khasnya orang Melayu dinasihat membuat persiapan awal berhubung pembahagian harta pusaka bagi mengelak timbul masalah apabila berlaku kematian kelak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ramai orang Islam tidak berminat membuat wasiat bagi memindahkan harta dimiliki kepada pewaris mereka, menyebabkan harta itu masih dinamakan atas nama individu yang sudah meninggal dunia.
Katanya, Amanah Raya Berhad (ARB) sudah menyediakan satu kaedah khas bagi memudahkan orang ramai menentukan pembahagian harta sebelum sesuatu terjadi kepada mereka, tetapi ia masih gagal menarik minat mereka untuk menggunakan kemudahan itu.
"Pendedahan media berhubung jumlah besar aset dalam bentuk harta dan wang tunai yang tidak dituntut waris akibat masalah itu (tiada wasiat), diharap dapat membuka mata masyarakat supaya membuat persiapan awal sesuai dengan prinsip Islam berhubung pembahagian harta pusaka kepada waris dan keluarga ketika mereka masih hidup," katanya selepas melawat empat rumah penduduk warga emas yang uzur dan kurang upaya, di Kampung Tersang dan Kampung Ulu Atok, dekat sini semalam.
Akhbar New Sunday Times kelmarin mendedahkan jumlah harta dan wang tunai yang tidak dituntut waris kini mencecah nilai RM40 bilion, termasuk RM38 bilion dalam bentuk tanah dan hartanah; RM1.5 bilion wang tunai dan RM70 juta dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran ARB, Rafie Omar, berkata tindakan tidak meninggalkan wasiat, menimbulkan masalah kepada pewaris mereka termasuk perlu menyelesaikan pinjaman kewangan yang dibuat individu terbabit.
Beliau berkata, orang Melayu adalah golongan terbesar yang enggan membuat wasiat ketika masih hidup kerana yakin sistem pembahagian harta menerusi faraid dapat menguruskan perkara berkenaan, tanpa mengetahui sistem itu tidak melindungi hak anak angkat.
Mengulas jumlah besar harta dan wang yang tidak dituntut itu, Najib berkata, ia akan dikaji mengikut undang-undang sedia ada dalam negara ini.
"Bagi kes wang yang tidak dituntut dalam KWSP itu, ia mungkin menjadi hak KWSP yang juga harta milik orang ramai," katanya
Sumber : Berita Harian
Untuk artikel, berita dan maklumat lain, sila layari www.alfalahonline.net
© 2007 al-Falah Online
www.alfalahonline.net
Thanks to Kak Rin n Partner

0 comments:

100 WISDOM

Download Blogger Widgets & Gadgets at PlanetBlogTemplate.blogspot.com

Followers

Page Reviews

About this blog